

Nov
30
“Sedih dgn masyarakat sebab tidak faham peranan ustaz. diorang faham ustaz tu untuk tok imam, jadi kadi. Yang mengajar agama kat sekolah. Kadang-kadang cikgu ajar fizik pakai kopiah pun boleh panggil ustaz. Yang ustazah pula mereka anggap sebab jadi bini ustaz. Orang panggil bini ustaz dengan nama ustazah. tapi jarang pulak dengar orang panggil ustaz kat suami ustazah. Ni jelah yang mereka mengerti tentang ustaz. Tu pasai elaun ustaz rendah. Sebab yang memimpin tak faham fungsi ustaz. mereka ingat ustaz ni sekadar duduk dalam masjid. (duk dalam ofis banyak plak gajinye eh)وjadi, saya harap ustaz boleh la cerita sikit apakah peranan ustaz sebenarnya sebab saya sendiri pun taktau. please!!!! terima kasih”
Itu merupakan salah satu komen dalam artikel saya “Kerana Seorang Ustaz”
“Eh ustaz, apa yang saya belajar dulu apabila seseorang itu bermusafir maka dia dituntut untuk solat jama’ dan qasar. Dan tidak boleh untuk berimamkan imam yang solat sempurna, walaupun untuk solat Maghrib. Kenapa ustaz kata boleh pula solat maghrib berimamkan imam yang solat sempurna. Aduuh, pening-pening. Sorang kata boleh, sorang lagi kata tak boleh.”
Salah seorang pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) di tempat saya bekerja kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Beliau sekarang sedang mengiringi pelajar untuk sukan antara universiti di Perak.
“Ustaz, yang mana satu nie. Saya keliru la. Sekarang nie geng-geng ustaz dah berpuak-puak dah. Tak tahu nak ikut yang mana satu. Saya buka al-Ahkam.net, bankahbash.blogspot.com diorang kata Sheikh ahbash ni penfitnah besar dan suka mengkafirkan orang tapi bila saya buka blog pula menyatakan SS Mufti Johor, JAKIM, SS Mufti Negeri Pahang, SS Mufti Terengganu, SS Mufti Selangor, SS Mufti Johor, YADIM, SS Mufti Australia mengatakan sebaliknya. ”
Tanya seorang pelajar yang baru nak berjinak-jinak dengan agama melalui internet dan pembacaan.

Situasi di atas hanya beberapa kes daripada ribuan kes yang ada. Pertelagahan antara para ulama’ dan para usaz membuatkan segelintir masyarakat keliru untuk mengikuti yang mana satu pandangan yang tepat. Lebih teruk dari itu apabila golongan agamawan dilihat kadang-kadang saling berbeza pendapat sehingga melibatkan pertelingkahan peribadi, hilang akhlaq seorang pembawa risalah nubuwwah (kenabian) apabila membentangkan hujjah masing, seolahnya aku sahaja yang betul, orang lain semua salah.
Beberapa orang pelajar menyatakan keinginan kepada saya untuk menghadiri Seminar Pemurnian Akidah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 1 November lalu di Masjid Wilayah Persekutuan. seminar
“Kenapa ntorang nak sangat pergi ke seminar ini?” Tanya saya sambil memandu kereta semasa dalam perjalanan ke seminar tersebut. Saja menduga.
“Untuk tambah ilmu ustaz” jawab mereka serentak. 3 orang kesemuanya.
Saya tersenyum sambil dalam hati berdoa semoga ilmu mereka akan benar-benar bertambah. Saya yang walaupun sudah mengetahui manhaj pembentangan seminar kali ini mengambil sikap seperti mereka.
Untuk menambah ilmu.
“Macamana, dah bertambah ilmu tak? “ Tanya saya sekali lagi semasa dalam perjalanan pulang dari tempat seminar.
“Bertambah pening ada la ustaz” jawab salah seorang dari mereka dengan diakui oleh rakan-rakan yang lain. Barangsiapa yang menghadiri seminar tersebut dan tidak tidur barangkali ada yang sependapat dengan mereka.
“Kenapa harus berbeza pandangan sampai macam tu sekali padahal sumber umat islam sama, al-Quran dan Sunnah” Tanya yang lain.
Islam Agama Yang Mudah
Kita tentu pernah mendengar kes pembunuhan Altantuya bukan klik? Kes Yim Pek Ha yang mencederakan Nirmala Bonat satu ketika dulu klik dan pelbagai kes lagi. Saya percaya semua peguam-peguam yang dilantik oleh mana-mana pihak merupakan orang yang pakar dalam bidang undang-undang.

Persoalannya ialah kenapa harus ada peguambela dan pendakwaraya, padahal sumber mereka satu sahaja iaitu perlembagaan dan buku undang-undang tentang kes tersebut (kalau kes tanah tentulah Land Law begitulah seterusnya). Sepatutnya samada peguambela ATAU pendakwaraya yang ada.Begitulah agama. Para Ulama’ akan berijtihad dengan kadar keilmuan mereka (walaupun berbeza pandangan),yang akan menentukan siapakah yang tepat, hanya Allah di akhirat nanti. Sebagaimana yang akan menentukan siapakah yang bersalah dan siapa yang tidak bersalah ialah hakim dalam mahkamah.
Ini adalah fitrah alam. Semua manusia di atas muka bumi Allah tidak ciptakan dengan mempunyai idea dan pemikiran yang satu sahaja, sekiranya begitu statiklah alam ini. Tidak akan adalah revolusi dalam apa-apa bidang. Kalau Allah mahu, maka Dia akan ciptakan manusia di atas satu millah (agama).
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ
Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. (Hud: 118)
Perbezaan Yang Mendamaikan
Begitu juga dengan para ustaz dan para ulama’. Setiap ustaz ada kemampuan yang berbeza untuk memahami nash-nash al-Quran dan hadith, ada yang betul-betul pakar, ada yang tidak.
Setiap ustaz punyai latarbelakang pengajian yang berbeza, ada yang syadid (keras) ada yang tidak, ada yang memahami dengan zahir dalil, ada yang menggunakan kaedah bahasa dalam memahaminya, ada yang mengkaji lebih dalam dari itu.

Ada ustaz yang dia tidak tahu kewujudan dalil bagi sesuatu hukum lalu dia berhukum dengan kadar kemampuan ilmunya. Dari itu adakah ustaz yang tidak tahu dalil itu tidak patut dihormati?
Hormat menghormati ini tidak perlu ada title ustaz atau YB, bahkan kita perlu menghormati semua orang samada muda atau tua, lelaki mahupun wanita. Sesiapa sahaja.
Pada minggu lepas (19 November 2008) saya pergi membuat pemeriksaan bulanan terhadap kandungan isteri saya yang kini sudah mencecah 8 bulan 3 minggu.
“Eh, dah 8 bulan ni, awak kena kurang berjalan. Nanti bulan Januari nanti baru banyakkan berjalan.Banyakkan berehat ye” pesan Dr Aminah kepada kami berdua.
“Eh, awak kena banyak berjalan supaya mudah bersalin” pesan Dr Salina ketika isteri saya membuat pemeriksaan seminggu selepas itu di kliniknya. Klinik tempat saya dan isteri merancang untuk menyambut orang baru dalam hidup kami..
Eh, kenapa ada dua pandangan yang berbeza pada orang yang sama, pada perkara yang sama. Adakah saya patut underestimate salah seorang dari mereka. Tentu sekali tidak. Bahkan kedua-kedua mereka merupakan pakar, Cuma cara mereka melihat sesuatu mungkin berbeza mengikut pengalaman masing-masing.
Ustaz yang ustaz
“Ustaz,awat saya tengok ustaz tu semacam ja. Batang idung pun tak nampak kat masjid. Hai teghok betoi” keluh seorang ahli qaryah masjid kepada saya. Orang Kedah.
Sekiranya seseorang yang specialize dalam bidang kejuruteraan maka apabila beliau sudah mengamalkan kepakarannya dalam bidangnya maka orang memanggilnya engineer. Apabila seseorang yang belajar akaun dan mengaplikasikan ilmu akaunnya maka orang akan memanggilnya akauntan. Apabila orang yang belajar perubatan dan kemudian mengaplikasikan ilmunya maka orang akan memanggilnya doktor dan apabila orang yang belajar ilmu agama dan kemudian mengaplikasikannya maka orang itu dipanggil ustaz.
Ketahuilah bahawasanya orang yang bergelar ustaz sepatutnya takut kepada Allah.
وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Faathir: 28)
Maka, sesiapapun yang takutnya kepada Allah melebihi segalanya dialah ustaz, sekiranya tawadhu’nya terhadap dunia melebihi egonya dialah ustaz, barangsiapa yang hidup dan matinya untuk Allah maka dialah ustaz, sekiranya amalan hidupnya berlandaskan al-quran dan sunnah, dialah ustaz.
Cuma serahkanlah urusan hukum hakam pada ahlinya.
Peranan Ustaz dan Anda

Apabila Nabi Muhammad SAW datang, Baginda menyatukan antara puak yang bertelagah berteraskan keimanan kepada Allah walaupun kadang-kadang disulami dengan perbezaan pandangan para sahabat, Baginda mengamankan.
Apabila baginda SAW datang Baginda tidak hanya menyuruh tetapi Baginda mendidik, menunjuk contoh sehingga para sahabat merindui setiap perlakuan Rasulullah. Baginda menjadi Quran bergerak.
Apabila Baginda datang, Baginda menunjuki manusia supaya meletakkan dunia di tangan bukan di hati. Walaupun ada sahabat Baginda kaya raya tetapi tidak pernah ‘tinggalkan’ Allah di belakang bahkan sentiasa merindui untuk bertemu-Nya. Baginda jutawan dalam kesederhanaan, tidak pernah kedekut.
Apabila Baginda SAW datang, Baginda mengajarkan supaya bekerja sepertinya mahu hidup selamanya dan beribadat sepertinya sekejap lagi akan meninggal. Baginda mengajarkan supaya berbuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh bukan mencari alasan dalam bekerja. Baginda sentiasa bersungguh-sungguh mencari jalan bukan alasan.
Cuba para pembaca menukar berkataan Baginda kepada ustaz atau saya.
بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ ۗ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya. (an-Nahl: 44)
Dan sepatutnya kedua-dua ayat di atas untuk orang yang bertitlekan ustaz (dan semua)
Berbeza Dengan Berprinsip

Islam datang terlebih dahulu dengan akhlaq sehingga Nabi Muhammad SAW menjadi SWISS BANK pertama dunia ketika mana perkataan itu belum pun muncul. Rakyat Makkah menyimpan duit kepada Nabi SAW. Logik akal, manusia tidak akan menyimpan duit kepada sesiapa yang kurang dari segi umurnya dan pengalamannya namun itulah Nabi Muhammad, kurang dari segi umur dan pengalamannya tetapi Baginda mempunyai KETINGGIAN AKHLAQ YANG SANGAT MULIA.
Orang tidak akan menerima orang yang muda dan kurang pengalaman sebagai hakim besar, namun itulah yang berlaku apabila semua ketua kabilah arab bersetuju untuk melantik Nabi menjadi hakim kepada pertelagahan mereka berkenaan siapa yang patut meletakan hajar aswad di tempatnya kembali. Baginda muda dan kurang pengalaman namun Baginda punyai AKHLAQ MULIA.
Semua orang menyanjungi akhlaq nabi samada rakan mahupun tidak, Cuma Baginda ditolak kerana membawa Islam.
Kita sudah ada islam cuma adakah akhlaq kita disanjungi oleh rakan dan musuh sebagaimana Nabi Muhammad SAW.
Janganlah kita ‘terbalik kuang” dengan apa yang berlaku pada Nabi SAW.
Artikel Ini
Tidak pernah saya menulis artikel untuk diuploadkan dalam blog saya sepanjang ini.
Tidak pernah saya menulis artikel blog ini selama ini.
Saya menulis artikel ini sejurus pulang dari solat subuh tadi, sekarang sudah melebihi jam 9.

3 jam!!!
Sesungguhnya saya menulis artikel ini untuk panduan umum dengan penuh keinsafan,kerisauan dan harapan.
Ridha
Ridharster@gmail.com
One Response to “Bersatu Dalam Perbezaan”
Leave a Reply


December 6th, 2008 at 12:08 am
kita tahu siapa yang dikatakan doktor,lawyer,engineer,pilot dsb…tp siapa ustaz?dlm kontek masyarakat melayu tak ada dhawabit yg jelas..asalkan pernah belajar agama dan hafal 2-3 potong ayat dan hadith,tahu sdkit sirah,pandai berceramah(baca dengan menggoreng),berpakaian ala2 kumpulan rabbani cukup utk seseorang digelar ustaz..ramai yg meng’ustaz’kan diri sendiri sedangkan tak de keahlian…jdlah apa yg terjadi…Dr Hassan Hito (usuliy Sham) menggelar golongan seumpama ini sbg al mutafaihiqun…jd penting utk anda mendapatkan khdmat nasihat dr ustaz yg benar2 original…dptkan yg ori anda mampu mengubahnya….